Wednesday 25 March 2015

Ulasan Terhadap Metodologi Asli (Turath) Imam Hasan Al-Banna (1)




Penulisan ini adalah usaha kecil saya dalam menterjemah sebuah artikel.
Artikel asal boleh diperoleh pada pautan ini.


Sesungguhnya melalui pengamatan saya terhadap penulisan-penulisan Imam Syahid Hasan Al-Banna Rahimahullah saya mendapati beliau adalah individu yang terkehadapan diberikan taufiq oleh Allah. Bukti-bukti yang beliau nukilkan dalam karya beliau meninggalkan kesan pada diri pembacanya baik daripada sudut kedalaman atau kekayaan maknanya, pendekatan dan contoh yang mudah dan matlamatnya yang realistik.

Kamu juga akan mendapati perbahasannya sekitar isu-isu yang menjadi tunjang, analisis terhadap elemen-elemen penting, mengenalpasti penyakit seseorang dan menentukan ubat yang tepat, mewujudkan cita-cita pada diri seseorang dan menggesa untuk mencapai cita-cita tersebut dengan kesungguhan dan beramal. Perhatikanlah pada setiap baris penulisannya, kamu akan dapati kamu berada di hadapan seorang da’i, pendidik, faqih dan seorang yang berpengalaman luas. Kamu juga berhadapan dengan seorang alim yang mampu meletakkan teori terbaik dalam memahami Al-Quran, Sunnah Rasulullah dan sirah para sahabat dan tabi’in, dan seorang yang memiliki kejelasan terhadap sejarah dan ummah.

Kesimpulan terhadap pendahuluan ini, setiap kelebihan yang kita jelaskan sebelum ini merupakan taufiq daripada Allah yang diberikan kepada seorang pemimpin rabbani dan sebagai bukti terhadap keikhlasan dan pengorbanan beliau demi kelestarian dakwah dan fikrah. Kerana itulah kita dapati kata-kata dan penulisan beliau mampu menembusi hati dan akal bagi mereka yang beramal.


Oleh itu, ini adalah siri daripada teori terpilih daripada metadologi asli (turath) imam mujaddid  rahimahullah.



3 Rukun kejayaan untuk kebangkitan ummah:
Berkata Imam Hasan Al-Banna: Aku meyakini rukun kejayaan kepada kebangkitan umat ini adalah tiga iaitu:

1-Wujudnya doktor yang bijak dan berkemahiran tinggi yang mengetahui penyakit dan berkeupayaan mencari penawarnya.
2-Wujudnya ubat-ubatan yang bermanfaat dan berupaya menyingkirkan penyakit secara keseluruhan
3-Ubat tersebut boleh diterima oleh umat untuk menggunakannya meskipun pahit, sehingga sempurnanya kesihatan

Dan Allah telah mengemukakan kepada umat islam bahawa doktor tersebut perlulah sentiasa kekal seperti yang diumpamakan dalam firmanNya: (وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ) الأنبياء :107 dan penawarnya berada bawah naungan peliharaan bekas yang difirmankanNya: (إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ) الحجر: 9  dan tidak akan kekal manfaatnya kecuali apabila diterima manusia untuk menggunakannya: إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ) الرعد: 11

Sumber: Khutbah Al-Fadhil Al-Ustaz Al-Mursyid, disebar melalui akhbar Al-Nadi, Bil. 32, Tarikh 2 Sya'ban 1354H bersamaan 27 Disember 1936M

Faedah dan Pengajaran:
1-     Sesungguhnya potensi yang wujud untuk mengembalikan ummah ini kepada izzah dan kemuliaan mereka sentiasa wujud terpelihara dan kita tidak berhadapan dengan kerugian sekiranya potensi tersebut diambil dengan kemahuan yang utuh.
2-     Melalui metadologi Ar-Rasul S.A.W dan sirah baginda yang harum seperti menjadi qudwah dalam tindakan dan perkataan baginda, aqidah, ibadah, akhlak dan muamalah baginda semuanya menjadi petunjuk dan contoh untuk ummah ini membina muslim yang benar dan membentuk generasi yang apabila mereka mengikuti nabi mereka mampu mengembalikan ummah ini ke zaman silam mereka yang gemilang dan mulia. Sejarah menunjukkan, mereka yang mengikuti dan terkesan dengan metodologi ini daripada kalangan sahabat, tabi’in dan seterusnya adalah berbeza daripada sudut tarbiyah dan seakan berhubung dan menerima bimbingan nabi.
3-    Para murabbi contoh yang terkesan dengan nabi dan merintis jalan yang telah dilalui baginda daripada urusan dakwah dan tarbiyah menjadi asas terhadap kebangkitan ummah. Mereka menjadi batu loncatan terhadap binaan tarbawi, dan menerusi kepedulian, keahlian pemeliharaan, kesediaan dan kemahiran tinggi mereka menjadikan mereka kelompok yang berperanan terhadap kebangkitan ummah dan kejayaan dakwah.
4-     Sesungguhnya ummah yang dipelihara Allah ini menjadikan rujukan utama mereka adalah daripada petunjuk dan sirah baginda samada melalui perbuatan mahupun perkataan. Kelompok ini juga dicintai Allah kerana mereka memelihara kesucian manhaj kehidupan mereka dan berbangga dengan sumber mereka iaitu Al-Quran. Sungguh pelik pada hari ini kita melihat ummah yang memiliki potensi ini hidup dalam perpecahan, bergantung harap pada yang lain, lemah dan mundur.
5-    Sesungguhnya masalah utama yang melanda ummah ini ialah jauhnya mereka daripada manhaj yang ditunjukkan Allah dan petunjuk nabi. Itulah usaha yang telah sekian lama dilakukan oleh musuh dengan bersungguh-sungguh untuk menjauhkan mereka dari sumber kekuatan dan kemegahan.
6-    Sesungguhnya Al-Quran adalah perlembagaan ummah ini, padanya penawar kepada penyakit, penyembuh kepada kesakitan. Oleh itu sebarang manhaj tarbiyah dan perubahan tidak akan Berjaya sekiranya jauh dengan manhaj rabbani ini. Padanya terdapat kebaikan di dunia dan kenikmatan di akhirat dan dengannya tercapai kebahagiaan manusia keseluruhannya. Sesungguhnya nikmat hidup di bawah lembayung Al-Quran seperti meminum daripada minuman yang istimewa yang bersih dan segar.
7-    Demi sebuah perubahan, walaupun di sana telah tersedia manhaj (ubat), pemimpin contoh (doctor) tetap tidak berhasil sekiranya tiada keinginan bekerja. Keinginan inilah yang akan menghapuskan segala rintangan dan halangan di atas jalannya. Keinginan yang kuat tidak boleh dicapai apabila kita bersikap lemah. Keinginan untuk melakukan perubahan berhajat kepada pengorbanan, sabar dan tetap teguh (tsabat) kerana jalan dakwah dan perubahan itu berat dan panjang. Tetapi yakinlah untuk mereka yang bekerja dan bersabar disediakan kepada mereka ganjaran yang sangat hampir iaitu kemenangan (nasr) dan peneguhan (tamkin) di dunia dan ganjaran syurga dan redha Allah di akhirat.
8-     Peranan seorang individu dalam kebangkitan ummah adalah sama penting dengan peranan murabbi dan manhaj, oleh itu setiap individu itu perlu memiliki keinginan dan suka antuk melakukan perubahan pada diri mereka. Seorang individu itu adalah elemen asas kepada ummah, maka merubah individu itu akan membawa kepada perubahan rumah (keluarga) seterusnya merubah masyarakat, kerajaan dan Negara. Inilah rahsia yang menjadikan Imam Hasan Al-Banna memberikan fokus terhadap pembinaan individu, dan meletakkannya (individu) pada posisi yang pertama daripada maratib amal, kemudian beliau menetapkan 10 ciri-ciri individu sehingga akhirnya mereka mampu memikul perubahan di sekitar mereka.

Beginilah bagaimana Imam Hasan Al-Banna mencirikan dan menentukan rukun kejayaan ummah iaitu: (Pemimpin-Manhaj-Keinginan bekerja dan melakukan perubahan)






No comments:

Post a Comment