Saturday 7 March 2015

Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan




Syaikh Yusuf al-Qaradhawi telah menulis sebuah buku yang istimewa bertujuan membimbing gerakan kebangkitan yang bersifat remaja ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam bimbingannya ini Syaikh al-Qaradhawi telah menggariskan sepuluh poin utama, iaitu:



1: Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.

Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.


2: Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan.

Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Di waktu yang sama gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap sebegini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi manfaat Islam dan umatnya manakala apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif.


3: Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah.

Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam cenderungkan mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan di dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.


4: Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok.

Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjamaah tetapi diwaktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?


5: Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan.

Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama di dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.


6: Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan.

Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia, kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.


7: Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif.

Eksklusif ialah sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisihkan orang lain manakala Inklusif ialah sikap merendahkan diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam alaihi salam, telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sifat eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang berciri-cirikan jamaah dan kerjasama.


8: Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana.

Islam adalah agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebih-lebihan (Ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong ke sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syari‘at Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebih-lebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam harus berada di antara kedua-duannya kerana ini jalan yang lurus yang akan menghasilkan kejayaan sebenar.


9: Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah.

Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa telah beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.


10: Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan.

Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam.



 
Tajuk: Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan.
Tajuk asal: al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd.
Penulis: Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.

No comments:

Post a Comment