Wednesday 25 March 2015

Ulasan Terhadap Metodologi Asli (Turath) Imam Hasan Al-Banna (1)




Penulisan ini adalah usaha kecil saya dalam menterjemah sebuah artikel.
Artikel asal boleh diperoleh pada pautan ini.


Sesungguhnya melalui pengamatan saya terhadap penulisan-penulisan Imam Syahid Hasan Al-Banna Rahimahullah saya mendapati beliau adalah individu yang terkehadapan diberikan taufiq oleh Allah. Bukti-bukti yang beliau nukilkan dalam karya beliau meninggalkan kesan pada diri pembacanya baik daripada sudut kedalaman atau kekayaan maknanya, pendekatan dan contoh yang mudah dan matlamatnya yang realistik.

Kamu juga akan mendapati perbahasannya sekitar isu-isu yang menjadi tunjang, analisis terhadap elemen-elemen penting, mengenalpasti penyakit seseorang dan menentukan ubat yang tepat, mewujudkan cita-cita pada diri seseorang dan menggesa untuk mencapai cita-cita tersebut dengan kesungguhan dan beramal. Perhatikanlah pada setiap baris penulisannya, kamu akan dapati kamu berada di hadapan seorang da’i, pendidik, faqih dan seorang yang berpengalaman luas. Kamu juga berhadapan dengan seorang alim yang mampu meletakkan teori terbaik dalam memahami Al-Quran, Sunnah Rasulullah dan sirah para sahabat dan tabi’in, dan seorang yang memiliki kejelasan terhadap sejarah dan ummah.

Kesimpulan terhadap pendahuluan ini, setiap kelebihan yang kita jelaskan sebelum ini merupakan taufiq daripada Allah yang diberikan kepada seorang pemimpin rabbani dan sebagai bukti terhadap keikhlasan dan pengorbanan beliau demi kelestarian dakwah dan fikrah. Kerana itulah kita dapati kata-kata dan penulisan beliau mampu menembusi hati dan akal bagi mereka yang beramal.


Oleh itu, ini adalah siri daripada teori terpilih daripada metadologi asli (turath) imam mujaddid  rahimahullah.



3 Rukun kejayaan untuk kebangkitan ummah:
Berkata Imam Hasan Al-Banna: Aku meyakini rukun kejayaan kepada kebangkitan umat ini adalah tiga iaitu:

1-Wujudnya doktor yang bijak dan berkemahiran tinggi yang mengetahui penyakit dan berkeupayaan mencari penawarnya.
2-Wujudnya ubat-ubatan yang bermanfaat dan berupaya menyingkirkan penyakit secara keseluruhan
3-Ubat tersebut boleh diterima oleh umat untuk menggunakannya meskipun pahit, sehingga sempurnanya kesihatan

Dan Allah telah mengemukakan kepada umat islam bahawa doktor tersebut perlulah sentiasa kekal seperti yang diumpamakan dalam firmanNya: (وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ) الأنبياء :107 dan penawarnya berada bawah naungan peliharaan bekas yang difirmankanNya: (إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ) الحجر: 9  dan tidak akan kekal manfaatnya kecuali apabila diterima manusia untuk menggunakannya: إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ) الرعد: 11

Sumber: Khutbah Al-Fadhil Al-Ustaz Al-Mursyid, disebar melalui akhbar Al-Nadi, Bil. 32, Tarikh 2 Sya'ban 1354H bersamaan 27 Disember 1936M

Faedah dan Pengajaran:
1-     Sesungguhnya potensi yang wujud untuk mengembalikan ummah ini kepada izzah dan kemuliaan mereka sentiasa wujud terpelihara dan kita tidak berhadapan dengan kerugian sekiranya potensi tersebut diambil dengan kemahuan yang utuh.
2-     Melalui metadologi Ar-Rasul S.A.W dan sirah baginda yang harum seperti menjadi qudwah dalam tindakan dan perkataan baginda, aqidah, ibadah, akhlak dan muamalah baginda semuanya menjadi petunjuk dan contoh untuk ummah ini membina muslim yang benar dan membentuk generasi yang apabila mereka mengikuti nabi mereka mampu mengembalikan ummah ini ke zaman silam mereka yang gemilang dan mulia. Sejarah menunjukkan, mereka yang mengikuti dan terkesan dengan metodologi ini daripada kalangan sahabat, tabi’in dan seterusnya adalah berbeza daripada sudut tarbiyah dan seakan berhubung dan menerima bimbingan nabi.
3-    Para murabbi contoh yang terkesan dengan nabi dan merintis jalan yang telah dilalui baginda daripada urusan dakwah dan tarbiyah menjadi asas terhadap kebangkitan ummah. Mereka menjadi batu loncatan terhadap binaan tarbawi, dan menerusi kepedulian, keahlian pemeliharaan, kesediaan dan kemahiran tinggi mereka menjadikan mereka kelompok yang berperanan terhadap kebangkitan ummah dan kejayaan dakwah.
4-     Sesungguhnya ummah yang dipelihara Allah ini menjadikan rujukan utama mereka adalah daripada petunjuk dan sirah baginda samada melalui perbuatan mahupun perkataan. Kelompok ini juga dicintai Allah kerana mereka memelihara kesucian manhaj kehidupan mereka dan berbangga dengan sumber mereka iaitu Al-Quran. Sungguh pelik pada hari ini kita melihat ummah yang memiliki potensi ini hidup dalam perpecahan, bergantung harap pada yang lain, lemah dan mundur.
5-    Sesungguhnya masalah utama yang melanda ummah ini ialah jauhnya mereka daripada manhaj yang ditunjukkan Allah dan petunjuk nabi. Itulah usaha yang telah sekian lama dilakukan oleh musuh dengan bersungguh-sungguh untuk menjauhkan mereka dari sumber kekuatan dan kemegahan.
6-    Sesungguhnya Al-Quran adalah perlembagaan ummah ini, padanya penawar kepada penyakit, penyembuh kepada kesakitan. Oleh itu sebarang manhaj tarbiyah dan perubahan tidak akan Berjaya sekiranya jauh dengan manhaj rabbani ini. Padanya terdapat kebaikan di dunia dan kenikmatan di akhirat dan dengannya tercapai kebahagiaan manusia keseluruhannya. Sesungguhnya nikmat hidup di bawah lembayung Al-Quran seperti meminum daripada minuman yang istimewa yang bersih dan segar.
7-    Demi sebuah perubahan, walaupun di sana telah tersedia manhaj (ubat), pemimpin contoh (doctor) tetap tidak berhasil sekiranya tiada keinginan bekerja. Keinginan inilah yang akan menghapuskan segala rintangan dan halangan di atas jalannya. Keinginan yang kuat tidak boleh dicapai apabila kita bersikap lemah. Keinginan untuk melakukan perubahan berhajat kepada pengorbanan, sabar dan tetap teguh (tsabat) kerana jalan dakwah dan perubahan itu berat dan panjang. Tetapi yakinlah untuk mereka yang bekerja dan bersabar disediakan kepada mereka ganjaran yang sangat hampir iaitu kemenangan (nasr) dan peneguhan (tamkin) di dunia dan ganjaran syurga dan redha Allah di akhirat.
8-     Peranan seorang individu dalam kebangkitan ummah adalah sama penting dengan peranan murabbi dan manhaj, oleh itu setiap individu itu perlu memiliki keinginan dan suka antuk melakukan perubahan pada diri mereka. Seorang individu itu adalah elemen asas kepada ummah, maka merubah individu itu akan membawa kepada perubahan rumah (keluarga) seterusnya merubah masyarakat, kerajaan dan Negara. Inilah rahsia yang menjadikan Imam Hasan Al-Banna memberikan fokus terhadap pembinaan individu, dan meletakkannya (individu) pada posisi yang pertama daripada maratib amal, kemudian beliau menetapkan 10 ciri-ciri individu sehingga akhirnya mereka mampu memikul perubahan di sekitar mereka.

Beginilah bagaimana Imam Hasan Al-Banna mencirikan dan menentukan rukun kejayaan ummah iaitu: (Pemimpin-Manhaj-Keinginan bekerja dan melakukan perubahan)






Saturday 7 March 2015

Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan




Syaikh Yusuf al-Qaradhawi telah menulis sebuah buku yang istimewa bertujuan membimbing gerakan kebangkitan yang bersifat remaja ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam bimbingannya ini Syaikh al-Qaradhawi telah menggariskan sepuluh poin utama, iaitu:



1: Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.

Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.


2: Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan.

Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Di waktu yang sama gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap sebegini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi manfaat Islam dan umatnya manakala apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif.


3: Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah.

Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam cenderungkan mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan di dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.


4: Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok.

Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjamaah tetapi diwaktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?


5: Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan.

Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama di dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.


6: Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan.

Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia, kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.


7: Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif.

Eksklusif ialah sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisihkan orang lain manakala Inklusif ialah sikap merendahkan diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam alaihi salam, telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sifat eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang berciri-cirikan jamaah dan kerjasama.


8: Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana.

Islam adalah agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebih-lebihan (Ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong ke sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syari‘at Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebih-lebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam harus berada di antara kedua-duannya kerana ini jalan yang lurus yang akan menghasilkan kejayaan sebenar.


9: Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah.

Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa telah beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.


10: Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan.

Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam.



 
Tajuk: Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan.
Tajuk asal: al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd.
Penulis: Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.

Wednesday 4 March 2015

Malaysia Menuju Negara Rahmah



Bismillahirrahmanirrahim.

Tulisan ini dihasilkan bertujuan untuk membincangkan dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul seputar isu gagasan “Malaysia Menuju Negara Rahmah” yang dibawa oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Tulisan ini adalah hasil daripada pengamatan peribadi saya terhadap gagasan ini, bacaan daripada sumber-sumber yang terhad dan pengalaman bersuhbah selama seminggu bersama Ustaz Hasanuddin Bin Mohd Yunus, Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Perbahasan takrif
Ramai yang menimbulkan persoalan,
Apakah takrif yang dibawakan oleh gagasan ini?
Adakah ianya sejajar dengan apa yang digariskan para ulama?

Untuk menjelaskan berkenaan perincian dan halatuju gagasan ini, saya mulakan penulisan ini dengan memetik huraian daripada sebuah buku yang diadaptasi daripada ucapan dasar Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad sempena Perhimpunan Tahunan IKRAM 2014 yang bertajuk Malaysia Menuju Negara Rahmah (MMNR):

Fasa transisi
1.       Islam mencorak perjalanan negara dan kehidupan rakyat
2.       Ulama’ di hadapan
3.       Kepimpinan baru sebagai contoh
4.       Parlimen dan Istana yang pro-syariah
5.       Kehakiman yang adil dan bebas
6.       Media yang bebas dan bertanggungjawab
7.       Perkhidmatan awam yang professional, berkecuali dan berakhlak
8.       Pasukan keselamatan profesional dan pro-syariah
9.       Ekonomi berlandaskan syariah
10.   Pembangunan sains dan teknologi untuk manusia

Fasa pengukuhan (tahap Idealismenya di peringkat nasional)
1.       Negara yang disebut di dalam al-Quran sebagai ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.’
2.       Negara yang berdiri atas asas Hakimiah Allah SWT
3.       Negara yang pemerintahnya terdiri daripada pimpinan yang adil, tidak melakukan pelanggaran-pelanggaran hukum yang besar, mungkin pernah melakukan maksiat yang kecil sahaja, mendaulatkan syariat sepanjang pemerintahannya.
4.       Negara yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya.
5.       Negara yang melaksanakan tuntutan syariah.
6.       Negara yang meletakkan maqasid syariah sebagai asas kepada pemerintahan dan pentadbiran.
7.       Negara yang menaungi semua rakyatnya atas prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaaan manusia sejagat.
8.       Negara yang memastikan hak-hak semua lapisan masyarakatnya tanpa mengira agama dan bangsa dipertahankan atas landasan syariat dan maqasid syariah.
9.       Negara yang mengamalkan pemerintahan yang didasarkan atas rundingan (syura) dan kesepakatan serta memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara dan memilih kerajaan mengikut lunas-lunas perlembagaan.
10.   Negara yang memastikan risalah dan dakwah Islam ditegakkan dan menjadikannya ciri utama kepada kelangsungan pentadbirannya.
11.   Negara yang memastikan urus tadbir yang baik serta meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat penting dalam kewujudannya.

Semua pernyataan ini bersesuaian dengan kehendak siasah syar’iyah yang menuntut pengurusan kehidupan rakyat dan pentadbiran negara sejajar dengan tuntutan-tuntutan syariah dan unjuran-unjuran syariah bagi maksud menegakkan Islam dalam Negara dan kehidupan manusia serta mentertibkan perjalanan dunia berasaskan bimbingannya.
Pernyataan ini sejajar dengan pernyataan-pernyataan ulama ummah yang tersohor sewaktu berbicara tentang siasah syar’iyah atau maksud daripada penegakan pemerintahan dan negara Islam.

السياسة الشرعية هي تدبير الأمام القوام لشئون الرعية المشتركة حسب مقاصد الشريعة
“Siasah syar’iyah ialah pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh semua rakyat sejajar dengan kehendak-kehendak syariah”

اقامة الدين وسيسة الدنيا به
“Penegakan agama dan pengurusan (perjalanan) dunia/negara dengan (bimbingan) agama (Islam)”

Berdasarkan petikan di atas, saya tertarik dengan apa yang gagasan ini bawakan. Gagasan ini tidak  memanjangkan perbincangan pada persoalan membawakan takrifan yang panjang dan meleret baik daripada kitab-kitab muktabar mahupun pandangan ulama’. Sebaliknya, takrifan yang dibawakan menerusi fasa transisi dan fasa pengukuhan dilihat lebih berfokus dan realistik berdasarkan situasi semasa negara kita Malaysia. 
Namun begitu, apa yang dibawakan tidak pula menyanggahi ruh sebenar pensyariatan. Sebagai contoh, ulama' di hadapan, parlimen dan istana yang pro-syariah, kehakiman yang adil dan bebas, perkhidmatan awam yang profesional, ekonomi berlandaskan syariah, dan seterusnya adalah perkara yang tiada pertikaian padanya, tidak memerlukan pentakwilan nas yang panjang dan takrifan untuk memperjuangkannya.

Hasilnya, gagasan ini dilihat lebih mesra (tanpa mengabaikan prinsip-prinsip Islam) dan mampu difahami dengan lebih mudah oleh setiap anggota masyarakat tanpa melihat kepada latarbelakang pendidikan dan menafikan ciri-ciri eksklusif iaitu hanya boleh difahami oleh ahli akademik semata-mata


Islam yang syumul

Imam Hasan Al-Banna dalam penulisan beliau risalah ta’lim telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh mereka yang ingin menjadikan dakwah itu satu idealisme yang hidup dan membangkitkan jiwa umat. Antara ciri-ciri tersebut ialah faham, ikhlas, amal, jihad dan lain-lain lagi.
Dalam menjelaskan faham sebagai ciri yang pertama, beliau menggariskan 20 usul yang seharusnya dihadam.

Usul pertama:

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan  dan umat. Ia adalah akhlak  dan  kekuatan  ataupun  rahmat  dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang  ataupun  keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta  ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah  yang  benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

Berdasarkan usul ini, penilaian penting dapat diambil daripada kesungguhan beliau meletakkan kefahaman yang fundamental bahawa islam itu bersifat syumul iaitu menyeluruh. Islam tidak sahaja menjadi rujukan dalam aspek aqidah, ibadah dan hukum hakam bahkan menyediakan penyelesaian kepada siasah dan pemerintahan. 
Kefahaman ini bahkan mendahului kefahaman untuk menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama yang diletakkan pada usul yang ke 2:

Al-Quran dan sunnah (hadis) adalah sumber rujukan untuk mengetahui hukum hakam Islam. Al-Quran difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan tidak memberat dan meringankan. Hadis pula di fahami melalui periwayat-periwayat hadis yang dipercayai.

Hikmahnya dapat kita lihat pada realiti masyarakat kini. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai tindakan yang dilihat bercanggah pada rupa zahirnya, namun kita menjadi seakan tersepit apabila melihat setiap daripada tindakan-tindakan tersebut punya hujah atau nas yang tersendiri. Bagaimanakah sumber yang sama dapat menatijahkan tindakan yang berbeza?
Kesimpulan kasar berdasarkan pengamatan saya, hari ini ramai muslim yang berkemampuan istinbat (mengeluarkan) hukum daripada nas-nas Al-Quran mahupun hadis, namun tidak ramai yang mampu melihat islam pada kacamata yang syumul dan menyeluruh. Kerana itulah islam perlu difahami pada sisi pandang yang lebih luas khususnya apabila kita berbicara mengenai konteks bernegara.

Takrifan yang baru?
Kesimpulan yang dapat kita ambil contohnya daripada tafsir Ibn Kathir menerusi penafsiran ayat:

وما أرسلناك إِلا رحمة للعالمين
 “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” ( Al Anbiya’ : 107)

      1- Bagi orang yang beriman, Islam adalah petunjuk menuju syurga dan kebahagiaan abadi.
      2- Sedang bagi orang kafir, kehadiran Islam menunda siksaan mereka hingga setelah mati, dan melindunginya dari azab Allah di dunia sebagaimana yang menimpa umat-umat terdahulu

Persoalannya, adakah gagasan MMNR membawa tafsiran yang baru terhadap kalimah rahmatan lil alamin?

Pada pengamatan saya, jawapnnya tidak.

Jika dilihat pada fikrah yang dibawa oleh Imam Hasan Al-Bannna (seperti di atas) jelas bahawa prinsip dan asas-asas syariah tidak boleh diambil secara sebahagian tetapi sebaliknya bersifat menyeluruh.

Amatlah malang kiranya tafsiran Imam Ibn Kathir di atas menatijahkan kefahaman yang silap kepada kita bahawa keindahan islam hanya perlu disampaikan kepada orang muslim sahaja dan orang kafir dibiarkan tanpa disantuni kerana mereka telah dijanjikan dengan azab yang ditangguhkan. Sepatutnya kefahaman yang kita peroleh adalah dengan menggandakan kesungguhan agar lebih ramai manusia daripada kelompok yang kedua merasai nikmat rahmah islam itu sendiri (dengan menyampaikan dakwah) dan berubah menjadi kelompok pertama yang akhirnya dijanjikan syurga dan kebahagiaan abadi di samping tidak mengabaikan tanggungjawab mengislah masyarakat muslim.

Hujahnya adalah berasaskan petunjuk sirah di mana jelas bahawa ar-Rasul S.A.W bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah kepada golongan musyrikin menerusi pendekatan yang pelbagai.

Selain itu, dalam Al-Quran (Surah Al-A’raf: 164-165) menceritakan bagaimana wujud sekelompok manusia yang mempersoalkan tindakan sekelompok manusia yang lain menasihati kaum yang sudah pasti dibinasakan dengan azab yang berat. Kelompok yang berdakwah itu menjawab agar mereka dapat melepaskan diri dari rasa bersalah tidak menyampaikan dan menjadi hujjah di hadapan tuhan. Pada ayat yang selanjutya, dinyatakan bahawa diselamatkan golongan yang memberi peringatan tersebut  dan ditimpakan azab ke atas golongan yang zalim. Manakala golongan yang mempersoalkan tersebut didiamkan tanpa menjelaskan balasan terhadap mereka. Menimbulkan persoalan kepada kita, apakah jaminan keselamatan bagi mereka yang hanya mempersoalkan tanpa sebarang tindakan daripada diazab di akhirat kelak?

Oleh itu, apabila kita berbicara mengenai konsep 'rahmah' ini maka bukanlah takrifan secara bahasa yang lebih utama untuk diperbahaskan, sebaliknya takrifan secara kontekstual yang menjadi esensi atau isi kandungan sesuatu gagasan itu yang lebih wajar dinilai.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd berkata:
"Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya."
  


Kesimpulannya, berdasarkan pengamatan saya terhadap isi kandungannya, jelas bahawa ianya bertepatan dengan ruh pensyariatan di samping membuktikan konsep syumuliyatul islam.


Membuka pintu ijtihad
Lembaran sirah telah mengajar kita bagaimana islam membuka pintu ijtihad agar umatnya tidak jumud dalam berfikir dan mencari penyelesaian. Contohnya dalam isu menyelesaikan masalah unta yang sesat, jelas bahawa tindakan Khulafa’ ar-Rasyidin yang lainnya bertentangan dengan tindakan Ar-Rasul S.A.W.
Adakah kita ingin mendakwa tindakan mereka itu bercanggah dengan sunnah? 
Pastinya tidak, bahkan tindakan mereka membuktikan bahawa mereka yang paling faham bagaimana untuk membumikan sunnah dalam realiti semasa. 

Dalam soal berhadapan maslahah 'ammah seperti isu politik atau pentadbiran negara, Islam tidak menetapkan secara terperinci tetapi sebaliknya, Islam memberi panduan melalui prinsip-prinsip Islam berdasarkan Al-Quran dan sunnah.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd juga berkata:
"Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia, kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri."


Jika pada soal pemerintahan, muamalat bahkan ibadat sekalipun islam membuka pintu ijtihad, inikan pula soal pendekatan dalam  mengislah dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat di Malaysia.  


Realiti masyarakat madani
Sekiranya Allah S.W.T mahu, maka pastilah Dia yang Maha Kuasa itu semudahnya dapat mentaqdirkan bahawa Rasulullah S.A.W membangunkan sebuah daulah madinah tanpa wujudnya seorangpun daripada kalangan golongan kuffar musyrikin mahupun Yahudi.
Tetapi Dia yang Maha Berkehendak itu telah mentakdirkan agar madinah dibangunkan berlatarbelakangkan masyarakat madani atau majmuk yang memiliki pegangan teologi yang berbeza dan pelbagai.  Hari ini kita melihat satu hikmah yang besar bahawa madinah telah menjadi sebuah model Negara yang ulung dalam mentadbir  masyarakat madani. Setiap golongan masyarakat baik muslim ataupun tidak diurustadbir dengan baik tanpa menafikan hak kewarganegaraan sesiapapun. Kewujudan sohifah madinah iaitu perlembagaan Negara yang dirujuk zaman-berzaman itu juga adalah satu bukti kebijaksanaan  Rasulullah S.A.W selaku ketua Negara dalam berhadapan variasi masyarakat. 

Antara kandungan Sohifah Madinah:
Fasal 25:
Kaum Yahudi dari Bani ‘Awf adalah satu umat dengan mukminin. Bagi kaum Yahudi agama  mereka, dan  bagi  kaum  muslimin  agama  mereka.  Juga (kebebasan  ini  berlaku) bagi sekutu-sekutu dan diri mereka sendiri, kecuali bagi yang zalim dan jahat. Hal demikian akan merusak diri dan keluarga.

Fasal 37:
 Bagi kaum Yahudi ada kewajiban biaya dan bagi kaum muslimin ada kewajiban biaya. Mereka (Yahudi dan muslimin) bantu membantu dalam menghadapi musuh piagam ini. Mereka saling memberi saran dan nasihat. Memenuhi janji lawan dari khianat. Seseorang tidak menanggung hukuman akibat (kesalahan) sekutunya. Pembelaan diberikan kepada pihak yang teraniaya

Demikianlah mutiara yang cukup berharga yang boleh digali dalam lautan perjalanan sirah junjungan nabi kita.

Melihat kepada konteks Negara kita di Malaysia, kita meyakini bahawa pendekatan yang sejahtera tanpa berbaur sentimen perlu sentiasa diambil dalam mewujudkan suasana yang kondusif agar dakwah dapat terus berkembang dengan subur tanpa mewujudkan sebarang pandangan pesimis masyarakat terhadap syariat.

Pendekatan sejahtera
Dalam sebuah video dialog antara Dr Zakir Naik bersama golongan yang belum islam, beliau diajukan soalan oleh seorang pendengar jika semua pengganut agama masing-masing mengakui agama mereka itu datang dari tuhan mengapa wujudnya perbezaan?
Beliau menjawab dengan menyatakan bahawa rasul datang menyampaikan risalah, namun sebahagian risalah telah diselewengkan oleh sebahagian pengikut mereka. Oleh itu, beliau mengajak untuk semua melihat kepada persamaan yang wujud dalam semua aliran agama kerana persamaan tersebut akan membuktikan bahawa itu (sekurang-kurangnya) adalah suruhan yang benar dari tuhan. Berdasarkan Al-Quran, Veda, Bible (old testament dan new testament) dan lain-lain sepakat pada beberapa perkara antaranya ialah tuhan itu satu, tuhan tidak boleh dijadikan berhala atau dilukiskan wajah, setiap agama melarang arak, judi dan lain-lain lagi.

Lihatlah betapa manfaat yang besar dapat diperoleh apabila kita berjaya mencari satu medium untuk duduk dan bersepakat untuk mencari persamaan.

Pendekatan inilah yang saya lihat telah dipelopori oleh pertubuhan IKRAM dalam mendekati masyarakat yang berlatarbelakangkan pelbagai agama di Malaysia. Mereka cuba didekati untuk difahami aspirasi mereka dan mencari titik persamaan yang tidak pernah wujud peluang sebegitu sebelumnya. Dengan membumikan tuntutan Al-Quran dari Surah An-Nahl:125 untuk menyampaikan islam dengan penuh hikmah, nasihat yang baik serta berhujah dengan cara yang lebih baik maka lahirlah pelbagai siri dialog kendalian Hidayah Centre dan keterlibatan dalam Negara-Ku yang bertujuan mengembalikan keharmonian hubungan sesama rakyat atas falsafah Rukun Negara, perjanjian penubuhan Negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan yang mana ketiga-tiganya telah menjamin kedudukan islam dan melayu di Malaysia secara tidak langsung menerusi kandungannya.

Oleh itu, umat islam tidak perlu risau kerana medium Negara-ku sebagai contoh tidak akan sesekali memberikan mudarat kepada mereka memandangkan setiap anggota  berpegang teguh pada 3 sumber di atas yang sesekali tidak akan menggoyahkan keduduukan muslim dan melayu di Malaysia. Bahkan medium ini dapat mencetuskan semangat persefahaman dan toleransi dalam mewujudkan masa hadapan Negara yang lebih sejahtera.

Pada pandangan saya juga, pendekatan yang diambil tersebut tidak sama sekali melunturkan keteguhan IKRAM membela perjuangan islam. Sebagai contoh, apabila kes Eric Paulsen yang mengkritik khutbah Jumaat secara terbuka, IKRAM dengan tegas menyatakan bantahan (dengan menjaga adab penggunaan bahasa) atas tindakan tersebut melalui saluran massa.
Begitu juga sekiranya wujud individu yang menghina syariat Islam seperti hudud, maka saya kira IKRAM boleh mengingatkan mereka dengan pendekatan yang baik agar kembali berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian penubuhan negara Malaysia yang melarang isu-isu sensitiviti seperti keagamaan dibangkitkan. Namun harus digariskan di sini menghina tidaklah sama dengan meminta mereka untuk menerima. Sekiranya kita ingin mereka menerima maka usaha perlu terus digiatkan dalam menyampaikan maklumat tentang keindahan di sebalik hukum-hakam syariat.

Demikianlah manfaat yang akan diraih apabila telah wujudnya 'engagement' yang baik dengan mereka. Apabila berhadapan krisis, nasihat boleh disampaikan secara berhikmah tanpa perlu melukakan sesiapa.

Seruan ke arah penyatuan
Setiap anggota masyarakat pastinya memiliki sisi pandang yang berbeza terhadap pendekatan yang terbaik dalam membangkitkan perubahan. Kebobrokan akhlak dan cabaran-cabaran yang dihadapi baik di peringkat global mahupun nasional menuntut kita semua untuk bertindak lantas memberikan sumbangan yang signifikan pada Negara. Oleh itu, lambakan tugas ini tak sewajarnya menjadikan kita orang yang lebih sibuk mengkritik, berbahas berbanding bertindak. Saya melihat menjadi kemestian untuk setiap ahli gerakan islam yang wujud di Malaysia untuk menyuburkan nilai saling menghormati. Selagimana setiap sesuatu tindakan yang diambil itu punya hujah syarak dan maslahat yang tertentu, maka mengapa ianya perlu terus dipersoalkan?
Sebenarnya, tidak perlu untuk setiap individu yang punya asas kefahaman islam ini bersatu dalam aspek amal. Pada hemat saya, biarlah diversiti yang wujud itu terus dimanfaatkan. Teruskanlah menggandakan usaha dan mengerah tenaga pada lapangan amal masing-masing yang dirasakan paling tepat. Seandainya kita ikhlas, maka pastilah manfaat itu akhirnya akan kembali kepada Islam, Negara dan ummah.

Kata Dr Yusuf Qardhawi lagi:
"Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam."